Tuesday, May 26, 2009

Seminar Pendidikan Serantau ke-4

Pada 19-21 Mei 2009, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaysia dengan kerjasama Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Universiti Nasional Riau Indonesia telah mengadakan Seminar Pendidikan Serantau kali ke-4 bertempat di Klana Resort Seremban, Negeri Sembilan.

Majlis perasmian seminar ini yang dilangsungkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, YB Dato' Seri Khaled Nordin turut menyaksikan upacara menandatangani MoU antara UKM (diwakili Naib Canselor UKM) dengan UNRI (diwakili Timbalan Rektor II UNRI). Upacara ini disusuli pelancaran buku "Reformasi Pendidikan Serantau" dan penyampaian hadiah Pertandingan Penyelidikan Pendidikan Nusantara. Pertandingan ini julung kali diadakan pada seminar ini dan kumpulan penyelidikan Dekan FPend UKM telah berjaya membawa pulang pingat emas.

Seminar ini telah menerima sebanyak 117 penyertaan untuk pembentangan lisan dan 19 penyertaan poster. Pembentang terdiri daripada pensyarah dan dosen universiti-universiti di Malaysia dan Indonesia, para pendidik dan pelajar siswazah lanjutan. Sebanyak 5 sesi selari diadakan di mana setiap sesi mengandungi 4 bilik pembentangan. Para pelajar DPLI ambilan Januari 2009 turut menjadi peserta seminar ini dan kami telah diberi tugas melaporkan kertas kerja yang telah dibentangkan untuk mengumpul resolusi yang berkaitan.

Kertas kerja yang dibentangkan dibahagikan kepada tema-tema tertentu dan terdiri daripada kajian-kajian eksperimental, tinjauan dan juga kajian tindakan. Walaupun kajian dan penyelidikan dilakukan di dua negara yang berbeza, dapat dilihat permasalahan yang dihadapi dalam pendidikan adalah sama di kedua-dua negara, dan mungkin di negara-negara serantau yang lain. Di akhir seminar, satu resolusi telah dibuat bertujuan untuk memperbaiki dan meningkatkan sistem pendidikan dan prestasi pelajar-pelajar rantau ini.

Ini merupakan saru pengalaman yang berbeza daripada yang pernah saya lalui kerana seminar yang pernah saya sertai merupakan penyelidikan bertemakan sains dan aplikasinya, bioteknologi dan lab-based research. menyertai seminar bertemakan sains sosial agak sukar pada mulanya tapi banyak yang telah dipelajari dan saya yakin akan membantu saya menghadapi cabaran sebagai seorang guru kelak.

0 comments: